Pembentangan Kertas Cadangan Asas Penyelidikan dalam Pendidikan Pelajar bagi pelajar PISMP Ambilan Jun 2020 telah diadakan selama 4 hari bermula hari Ahad hingga Rabu, 19 Mac 2023 hingga 23 Mac 2023 bertempat di Bilik PSV, Bilik Mesyuarat Jabatan STEM dan Makmal Sains. Seramai 30 orang pensyarah daripada pelbagai jabatan yang merupakan panel dan 110 orang pelajar Major Sejarah terlibat dalam Pembentangan Kertas Cadangan Penyelidikan tersebut. Tahniah diucapkan!

 

Taklimat Amanah Tugas Pensyarah (ATP) 4.0 diadakan pada hari Ahad, 3 Mac 2023 di Bilik PSV, Blok F3. Seramai 13 orang pensyarah JSS terlibat dalam taklimat berkenaan. Perkongsian berkaitan pengisian ATP secara dalam talian telah diberikan oleh Ketua Jabatan, Dr. Ahamad Jama' Amin bin Yang dibantu oleh Dr. Hj Azhari bin Mat Salleh.

 

Bengkel Pemantapan Penyelidikan dan Inovasi Pensyarah Jabatan Sains Sosial telah diadakan pada 15 dan 16 Februari 2023 di Tasik Pedu, Kuala Nerang, Kedah. Seramai 12 orang peserta telah mengambil bahagian. Para peserta telah didedahkan dengan cara penulisan penyelidikan yang betul dan juga berkaitan inovasi para pensyarah. Penyelaras yang bertugas membentangkan penyelidikan adalah Dr. Hjh Khalijah binti Ahmad dan bagi inovasi adalah Dr. Ahamad Jama' Amin bin Yang.

Majlis Persaraan Pn. Hjh Yang Baizura binti Abdullah telah diadakan pada hari Selasa bersamaan 28 Februari 2023. Majlis tersebut telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Pengarah Dr. Wan Fadzli bin Wan Haron, wakil daripada Majlis Pensyarah (KEKELIP), semua pensyarah JSS,  serta pelajar sejarah dan antaranya merupakan mentee beliau. Selamat Bersara Pn. Hjh Yang Baizura binti Abdullah.

Bengkel Professional Learning Communities (PLC) Jabatan Sains Sosial dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) telah diadakan pada 9 Februari 2023 di Bilik Kristal, Pusat Sumber IPGKDA. Seramai 13 orang pensyarah JSS terlibat dalam bengkel tersebut. Dr. Hj Azhari bin Mat Salleh selaku Penyelaras PLC telah berkongsi ilmu berkaitan Pentaksiran Bilik Darjah. Para peserta telah diberikan taklimat berkaitan PBD dan pautan berkaitan dokumen PBD dalam Google Classroom juga telah dikongsi.